Monday, November 28, 2016

SESI 2016 BERJUMPA NOKTAHNYA


Bismillahirrahmanirrahim.

"Best teachers teach from the heart, not from the book"

Bermula dengan hari ini, suasana di tadika kembali sunyi. Hanya sesekali terdengar gelak tawa para guru yang sedang menyiapkan tugasan sebelum pra tadika sesi 2017 bermula minggu hadapan. Semasa sedang memandu ke Taman Mawar pagi tadi, di fikiran ni sudah terdetik, hambarlah suasana tadika tanpa penyeri-penyeri kecil kami, tiada yang akan sibuk memanggil dan menegur ketika saya lalu di kelas-kelas kosong itu nanti. Tiada juga yang menerjah masuk ke dalam pejabat kami untuk bersalaman dan juga meminta izin ke tandas (sudah menjadi seperti kewajipan bagi mereka, akan buka pintu dan meminta izin ke tandas atau untuk mencuci tangan). Bagi kami yang cuma sesekali bergaul mesra dengan murid-murid ini pun terasa kehilangan, apatah lagi bagi para guru yang saban hari melayan kerenah mereka dan mengajar mereka. Mesti lebih terasa kekosongannya.

Seminggu sebelum berakhirnya sesi 2016, pihak tadika telah mengadakan jamuan akhir tahun di setiap cawangan. Seperti biasa sebelum berlakunya apa-apa majlis di tadika, guru-gurulah yang paling sibuk merancang dan menghias tadika. 

“Majlis penutup ni Kak Ifah.. kena buat yang terbaik,” bak kata Cikgu Nur Zalikha ketika saya turun ke bawah sebentar melihat persiapan akhir mereka sebelum murid-murid diarahkan turun oleh Pn Azlia, Guru Besar Taman Mawar.

Dan memang yang terbaiklah yang diberikan oleh semua guru di setiap cawangan. Gambar-gambar yang mereka kongsikan memperlihatkan hasil kreativiti di setiap cawangan. Ceria dan meriah, itu yang dapat saya katakan. Kepenatan menghias dan meyusun atur bahagian halaman tadika terubat apabila murid-murid yang keluar memuji hasil kerja guru. Itu lagi antara perkara yang saya rindu semasa menjadi guru dahulu. Hilang penat apabila mereka keluar dengan senyuman yang terukir di bibir dan mata yang galak memerhati sekitar halaman tadika.
Hiasan bergantungan di TIB

Ruang untuk bergambar disediakan.

Cantik dan comel hiasan belon di sliding door.

"Macam tempat pengantin cikgu!" komen anak murid.

Hiasan yang simple tetapi menarik.


“Cantik cikgu!!”

“Macam ada orang kahwin!!”

“Pandai cikgu buat ni!!”

Percayalah, itu sahaja sudah mampu buat hati cikgu semua terbang sampai ke bulan.

Terima kasih juga kami ucapkan kepada pihak ibu bapa dan juga penjaga yang memberi sumbangan dalam bentuk makanan dan juga minuman ke tadika. Alhamdulillah, lebih dari mencukupi bagi kami. Kenyang sampai ke malam kami dibuatnya. Jangan risau, makanan yang lebih itu kami agihkan ke pihak van. Terima kasih juga ibu bapa yang memberi hadiah perpisahan kepada guru-guru kami, sesungguhnya bukan itu yang kami harapkan. Kepuasan dalam mendidik dan membentuk anak-anak ini bukan sekadar tugas yang perlu kami galas setiap hari, tetapi ianya amanah yang perlu kami laksanakan.

Antara rezeki yang dapat dikongsi bersama.

Terima kasih kerana meluangkan masa untuk masak
dan hantar makanan ke tadika.


Burger ni sangat comel!

Ada juga sambutan hari jadi.

Makan dahulu sebelum persembahan dan games.

Mari sini cikgu suapkan makanan.

Jom bergambar sebelum makan!!

Antara kek sumbangan dari ibu bapa.

Kenyang kami dengan kek. Terima kasih
Boleh tak ambil makanannya tu?



Cepat!!! Tiup sampai pecah!!

Apa agaknya games yang sedang berlangsung ni?

Hmm.. ini lah masanya saya nak tunjukkan bakat!!

Persembahan dari murid K2

Ingat lagi tak steps tariannya tu?

Di sini saya sebagai wakil dari para guru Mybistari Group ingin memohon kemaafan sekiranya sepanjang kami mendidik anak tuan dan puan, ada kekurangan dan kesilapan dari pihak kami. Terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada kami dalam sama-sama membentuk anak-anak ini, dalam puluhan tadika yang ada di sekitar Pasir Gudang, tuan dan puan memilih kami sebagai agen pertama yang memberi ilmu dan membentuk sahsiah awal anak-anak tuan dan puan. Terima kasih.

Kenangan yang mereka sama-sama cipta bersama kami dalam tahun 2016 ini sangat istimewa. Seperti yang pernah saya katakan dahulu, setiap satu dari mereka ini memberikan kami pengalaman yang berbeza dan juga mengajar kami untuk menjadi lebih baik dan matang lagi dalam mendidik generasi yang akan datang.

Bagi yang masih ada untuk tahun hadapan bersama-sama kami, terima kasih juga kami ucapkan. Bagi yang telah menamatkan persekolahan dan bakal menempuh alam sekolah kebangsaan, jangan lari-lari atau sembunyi bila nampak cikgu di luar ya! Ianya satu nikmat apabila bekas anak murid menegur gurunya apabila terserempak di luar.

Untuk minggu ini, guru-guru di semua cawangan sedang sibuk membuat persiapan bagi menyambut murid-murid baru pra tadika sesi 2017. Apa agaknya bakal murid-murid kami ini bawakan untuk kami kali ini ya? Kami sedia menanti dengan penuh debar.

~Cikgu Norifah~

Thursday, November 17, 2016

2016 HARI ANUGERAH CEMERLANG



“Guruku tersayang, guru tercinta
Tanpamu apa jadinya aku
Tak bisa baca tulis
Mengerti banyak hal
Guruku.. terima kasih ku..”

Antara bait lirik yang terdapat dalam koir yang didendangkan oleh anak-anak murid pada hari Anugerah Cemerlang 2016. Sekejap sahaja rasanya kami sudahpun  melalui program yang terakhir bersama-sama dengan anak-anak murid sesi 2016. Apa yang boleh saya katakan, pada kali ini keadaannya agak tertekan sedikit dari tahun-tahun yang sebelumnya kerana masa yang diperuntukkan untuk persiapan dan latihan agak terhad. Risau bila kami kira-kira di takwim, selepas peperiksaan akhir tahun dan juga hari terbuka, murid-murid dan guru-guru cuma ada tak sampai tiga minggu sahaja untuk berlatih. Tetapi Alhamdulillah, berkat kegigihan dan semangat yang ditunjukkan oleh mereka semua, persembahan yang dipertontonkan sangat memuaskan hati.

Ucapan pembukaan majlis oleh penasihat MyBistari Group
 En. Ahamed Tamizi Bin Osman



Pemudahcara majlis yang dipertanggungjawabkan
untuk mengacarakan majlis ; Pn Shawariah dan Pn Norafizah
Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, kami mengadakan Hari Anugerah Cemerlang di Stadium MPPG, Pasir Gudang. Bukannya untuk menunjukkan gah atau seangkatan dengannya, tetapi kerana memikirkan jumlah cawangan dan murid-murid yang akan terlibat dengan program ini sangat ramai, hampir mencecah ke empat angka, keselesaan dan kemudahan bagi pengujung dan peserta yang datang juga perlu kami ambil kira. 

Ruangan duduk di bahagian atas yang banyak
dan lebih selesa bagi para pengunjung.

Dengan adanya ruangan duduk bertingkat, para ibu bapa tak perlu berdiri untuk
melihat persembahan anak-anak.

Lega juga kami rasakan kerana dalam kesuntukkan masa untuk membuat backdrop program, cadangan kami diterima oleh pihak atasan. Untuk tahun ini, backdrop kami tempah, guru-guru tidak perlu pening mengagihkan masa antara latihan persembahan, sesi P&P, dan juga backdrop. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak atasan kerana memahami. Backdrop pada kali ini adalah hasil kreativiti Puan Shawariah Saat. Mungkin ramai yang tidak tahu berkenaan dengan beliau, tetapi dialah tulang belakang terpenting dalam Mybistari Group. Jika Puan Suhaila sibuk di bahagian operasi, memantau perkembangan setiap cawangan, Puan Shawariah pula bergerak aktif di belakang tabir, menyiapkan worksheet dan segala kertas ujian dan peperiksaan, dan juga mereka cipta buku terbitan Mybistari Group.

Backdrop hasil kreativiti Pn Shawariah, hiasan belon pula dari Pn Suhaila, yang
di atas pentas tu bukan sampah ya, itu penanda yang diletak oleh para guru untuk
anak didik persembahan mereka.

Alhamdulillah, untuk kali ini juga pembukaan lot jualan di sekitar tapak program juga menggalakkan. Maklum balas yang kami terima dari pihak peniaga juga tak kurang hebatnya. Walaupun ada yang dah bertanya untuk berniaga lagi pada tahun hadapan, tapi peluang kami akan berikan pada yang lain pula. Rezeki sama-sama kita agih-agihkan.

Terima kasih kerana turut memeriahkan program kami.

Salah satu lot yang ada di Hari Anugerah Cemerlang.

Satu perkara yang saya kagum dengan anak-anak kecil ini adalah kebolehan mereka untuk menghafal gerak tari dan juga lirik lagu yang mereka persembahkan. Jangkamasa latihan yang diperuntukkan dalam sehari hanyalah lebih kurang sejam, tetapi hasil yang mereka persembahkan amat membanggakan. Tahniah kami ucapkan kepada guru-guru yang membimbing dan juga murid-murid yang mengambil bahagian.

Cikgu Norieza sedang memperkemaskan lagi
anak didiknya sebelum memulakan persembahan.

Berdebar menanti giliran membuat persembahan.

Persembahan tarian yang menarik dan tersusun oleh murid-murid.

Cantik dan comel, menggunakan payung berwarna warni sebagai props.

Persembahan nasyid yang penuh penghayatan.

Persembahan stomp, murid menyanyi dengan iringan musik yang dihasilkan
dari bahan-bahan terpakai.

Pandai sungguh mereka berlakon di atas pentas.


Seperkara lagi yang membanggakan pihak kami adalah bertambahnya jumlah penerima Anugerah Khas Bacaan. Anugerah ini diberikan kepada murid-murid K1 yang berjaya menghabiskan bahan bacaan mereka sehingga ke buku Mari Membaca Jawi. Bukan mudah ya untuk mengajar anak-anak sekecil begini untuk dapat membaca dalam tulisan jawi. Sekali lagi tahniah kami ucapkan kepada ibu bapa yang turut membantu dan memantau prestasi bacaan anak- anak dirumah. Bagi mereka yang tidak terpilih atau masih lagi dalam proses mengenalkan bacaan kepada anak-anak, jangan putus asa kerana tahap kematangan anak-anak ni berbeza bagi setiap individu. Ikhlas dan yakin, Insyaallah akan membuahkan hasil.

Deretan trofi yang bakal diterima oleh murid-murid top 3 dan juga penerima
Anugerah Bacaan.

Sebahagian murid yang menerima Anugerah Khas Bacaan.

Comel-comel semuanya.

Semoga anugerah ini menjadi pemangkin untuk mereka lebih berjaya di masa
akan datang.

Sebahagian dari penerima AKB dari Tadika Inovasi Bestari

Sudah namanya pun Hari Anugerah Cemerlang, bermakna fokus utama untuk program ini adalah memberi penganugerahan kepada murid-murid yang cemerlang dalam peperiksaan semester 2 yang lepas. Rasanya tak salah sekiranya kami ucapkan tahniah sekali lagi kepada para penerima anugerah. Di sini saya kongsikan beberapa gambar penerima anugerah cemerlang, sekiranya mahu lihat gambar yang lain, sila ke photo gallery kami.

Adik, gembira ke tak sebenarnya tu dapat hadiah?

Para penerima anugerah yang turut serta dalam persembahan.

Alhamdulillah, tahniah ya!!

Lebarnya senyuman!!
Inilah perkongsian kami sepanjang program dijalankan. Sekiranya ada kelemahan dan kekurangan dalam kami mengendalikan program ini, ataupun sepanjang kami mendidik anak-anak tuan dan puan, silalah beritahu agar kami dapat memperbaikinya pada masa yang akan datang. Terima kasih kami ucapkan kepada ibu bapa yang memberi kepercayaan kepada kami dalam membentuk anak-anak mereka. Mari kita sama-sama doakan agar anak-anak ini menjadi insan yang berguna.

Sebelum saya terlupa, minggu hadapan , Ahad (20 November 2016) akan diadakan jamuan perpisahan bagi murid-murid di cawangan masing-masing. Maklumat berkenaan majlis tersebut ada dinyatakan di surat makluman November. Kami amat berharap agar anak-anak murid semuanya hadir pada majlis berkenaan memandangkan ini adalah majlis penutup sebelum cuti persekolahan bermula.

Sila ke youtube kerana sebahagian video-video persembahan HAC telah kami upload untuk tontonan semua. 

YOUTUBE dimulai dengan Tarian zapin SELAMAT DATANG

~Cikgu Norifah~

Monday, November 7, 2016

HARI TERBUKA SEMESTER 2 2016



Bismillahirrahmannirahim.

Alhamdulillah 2016 sudah hampir ke penghujungnya. Segala macam aktiviti tadika telahpun kami dan anak-anak murid lalui. Terasa cepat pula masa berlalu. Kami guru-guru di tadika menghitung hari untuk melepaskan murid-murid K2 ke alam persekolahan yang baru. Sedih dan berat rasanya. Dua tahun bersama mereka, bermacam-macam rasa, pelbagai kerenah yang kami lalui bersama. Terima kasih ya ibu dan ayah, kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk mendidik anak-anak anda. Terima kasih juga kerana memberi ruang dua tahun mereka bersama kami, setiap satu dari mereka ini memberi kenangan dan impak yang berbeza pada setiap guru yang ada mengajar mereka. 

Minggu lepas baru sahaja kami melalui hari terbuka di setiap tadika kami. Walaupun hari terbuka kami adakan pada hari Khamis, Alhamdulillah sambutan dari pihak ibu bapa amat menggalakkan. Sokongan yang diberi oleh pihak ibu bapa amat kami hargai. Terima kasih kerana sudi datang untuk berbincang mengenai prestasi anak didik kami. Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan sekiranya ada kesilapan dan kekurangan dalam menyampaikan ilmu kepada anak tuan dan puan. Sesungguhnya tak pernah puas luangkan masa dengan mereka di tadika.

Antara cikgu yang paling teruja dengan hari terbuka ini adalah Guru Besar Tadika Nur Pintar Bestari, Puan Noorhasiah. Mana tidaknya, dia adalah antara guru lama yang masih lagi berkhidmat dengan kami di Mybistari Group. Bila dah namanya guru lama, bermakna pengalaman mengajar adik beradik yang bergenerasi juga ada. Seronoknya hari terbuka bukan setakat berjumpa dan berbincang dengan ibu bapa yang baru pertama kali menghantar anak-anak ke tadika ini, tetapi juga peluang untuk berjumpa dengan bekas murid yang pernah kami ajar di tadika, kalau tidak pun bila ibu bapa bercerita berkenaan dengan prestasi mereka di sekolah rendah dan menengah. Itulah yang dirasai oleh Puan Noorhasiah. Terbayang keceriaan  di wajahnya apabila bercerita dengan saya pertemuannya dengan anak-anak muridnya yang lama. Anak-anak murid yang kami sama-sama didik ketika di Taman Scientex 1 dahulu. Cemburu juga apabila dia menghantar gambarnya bersama-sama dengan bekas anak didik kami itu. Bagi kami cikgu-cikgu tadika, salah satu topik yang sering memberi semangat kepada kami dalam mendidik anak-anak kecil ini adalah bercerita berkenaan dengan bekas anak murid kami. Tak kiralah pencapaiannya di sekolah rendah dan menengah bagus atau tidak, tetapi apabila bekas anak-anak murid tegur dan masih ingat pada kami, itu sudah cukup menggembirakan hati. 

Satu perasaan yang sukar kami gambarkan apabila di hari terbuka, kami hulurkan fail peribadi dan gambar murid K2 ke tangan ibu atau bapa bermakna waktu yang diperuntukkan untuk kami bersama mereka semakin suntuk. Akankah mereka ingat kepada kami seperti bekas anak murid yang lain? Bagaimana nanti prestasi mereka di sekolah rendah? Kawan-kawan yang macam mana nanti akan mereka dampingi? Mahu tak mahu peringkat ini akan kami sentiasa lalui saban tahun. Semoga anak-anak didikan Mybistari Group menjadi insan yang hebat dan cemerlang, dunia dan akhirat.

Tahniah kami ucapkan kepada murid-murid yang dapat top 3 pada peperiksaan kali ini. Bagi murid-murid yang lain, tak apa.. tak dapat nombor 1, 2, atau 3 tak bermakna tak pandai, mungkin nasib tidak menyebelahi kali ini. Jangan putus asa, cuba lagi dan lagi!

Nak tahu suasana perjalanan hari terbuka semester 2 tahun ini? Di sini saya kongsikan beberapa gambar untuk tatapan semua. Jika mahu lihat yang selebihnya boleh lah ke photo gallery kami ya!

Bersungguh Cikgu Najwa memberikan penerangan (TKM1)

Tinggalkanlah pesanan untuk kami ya (TNPB)

Cak!!! Comelnya Cikgu Juliana dan Cikgu Syikhah (TIB)

Tenaga pengajar TIB 2016

Meja cikgu semua full house (TNPB)


Bersungguhnya Cikgu Atikah menerangkan prestasi murid (TNPB)

Apa yang diperbincangkan tu ya? (TMPB)

Jom kita bergambar dahulu sebelum balik! (TKM2)

Apa agaknya yang merisaukan ibu ini ya? (TM)

Wajah-wajah ceria (TM)

Meriah dengan tetamu di cawangan ini (TMPB)

Khusyuk mendengar penerangan Cikgu Farah (TS2)

Hmmmm.. nak tulis apa ye, ibu? (TS2)
Tersenyum lega berkongsi cerita dengan guru kelas (TS1)
Ooppss.. sebelum terlupa, ada lagi satu perkara yang sangat dinanti-nantikan ketika hari terbuka. Perkara yang membuatkan para guru besar dan guru-guru tak lena tidur memikirkan apa yang perlu dibuat, benda apa yang hendak digunakan, cantik atau tak? Papan notis cawangan yang dihasilkan oleh mereka. Tema kali ini adalah animasi. Cawangan mana agaknya kali ini yang akan membawa pulang piala pusingan bagi Papan Notis Terbaik?

TNPB dengan tema mereka Snow White and the seven dwarfs

Aladin di TIB

TS1 dengan tema mereka Strawberry on shortcakes

Ada duyung di TS2 (Little Mermaid)

Jom naik kereta kuda di TMPB (Cinderella)

TKM2 dengan tema mereka Hansel and Gretel

Jaga-jaga! Ada serigala di TKM1 (Little Red Riding Hood)

Alice in wonderland di TIPB

Bell ada di mana Beast? Beauty and the Beast di TM
Itu sebahagian dari gambar-gambar yang dapat saya kongsikan di sini. Kami masih ada satu lagi program yang perlu dijalani dengan murid-murid K2. Program kemuncak yang sangat ditunggu-tunggu oleh anak-anak murid kerana mereka akan membuat persembahan di atas pentas; Hari Anugerah Cemerlang 2016. Bagi ibu bapa yang telahpun menghantar borang penyertaan untuk anak-anak, pastikan mereka hadir ke sekolah ya.. Latihan persembahan sudah pun bermula.

Akhir sekali, silalah like page FB kami ; Mybistari Group . Terima kasih!

~Cikgu Norifah~