Wednesday, October 19, 2016

AMALI SOLAT 2016


Khusyuk menunaikan solat

Bismillahirrahmanirrahim

“Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab ke atas seorang hamba pada hari kiamat adalah perkara solat.  Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amal ibadah lainnya, kemudian semua amalannya akan dihitung atas hal itu,” (Hadith Riwayat An Nasa’i)

Seringkali ibu bapa yang datang untuk mendaftar anak di tadika kami akan bertanya,

“Cikgu, kat sini ada belajar Fardhu Ain tak ?  Mengaji ada termasuk sekali tak dalam pelajaran anak nanti? Saya nak anak saya umur 5 tahun dah pandai solat, bab membaca atau mengira saya tak kisah sangat, yang penting didikan agama.”

Itu antara pertanyaan dan harapan yang diberikan oleh pihak ibu bapa ketika datang untuk mendaftarkan anak-anak mereka di sini.

Ingin saya mengambil kesempatan disini untuk menerangkan yang kami tidak menawarkan kelas 
Fardhu Ain ataupun kelas Iqra di dalam silibus kami. Tetapi tidak bermaksud murid-murid di sini tiada penekanan agama langsung.

Bagi murid K2, ketika semester 1 mereka akan didedahkan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam yang fokusnya adalah dalam bab akidah. Murid akan diperkenalkan dengan Rukun Iman. . Setiap rukun yang terkandung di dalam Rukun Iman akan diajar kepada murid-murid. Dalam semester ini juga murid-murid diwajibkan untuk menghafal surah-surah lazim dan juga doa-doa harian. Hafalan mereka akan direkodkan oleh guru kelas dan sekiranya hafalan tidak memuaskan hati guru, murid dikehendaki mengulangi hafalan itu lagi. Begitu juga dengan murid K1, ada bacaan dan doa yang perlu dihafalkan mengikut tahap mereka.

Pada semester 2 pula mereka akan didedahkan dengan bab ibadah. Rukun Islam akan diperkenalkan kepada murid-murid. Ketika ini juga niat-niat solat akan diajarkan kepada mereka.  Bacaan-bacaan dalam solat juga dimasukkan dalam hafalan bulanan mereka dan seperti juga semester 1, di semester 2 bacaan ini juga direkodkan.

Amali solat hanya akan dilakukan apabila peperiksaan semester 2 tamat. Murid-murid akan dipantau dari cara mengambil wuduk sehinggalah bacaan doa selepas solat. Punyalah seronok apabila guru mereka menyampaikan pesan untuk membawa telekung, songkok dan sejadah, habis keluar semua cerita pengalaman mereka menunaikan solat bersama keluarga tercinta.


Bersedia untuk mengambil wuduk (TIPB)

Jangan lupa di bahagian celah-celah jari ye (TIB)

Rapatkan saf semua!! (TIB)

Sejuk hati bila tengok sudah pandai imamkan solat (TIPB)

Pastikan cara duduk antara dua solat betul (TIPB)

Alhamdulillah, lancar bacaan doa qunut (TS2)

Yang belum lancar, dapat melancarkan lagi 
dengan baca bersama-sama(TS2)

Duduk antara 2 sujud (TS1)

Jangan ada yang tertidur masa sujud (TS2)

Bacaan doa selepas solat (TS1)

Selesai sudah solat (TS1)

Salam bersalaman 

Alhamdulillah amali ibadah wajib ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan baik. Harapan kami agar ibadah ini tetap diterapkan juga di rumah. Anak-anak suka apabila dibawa ke surau atau masjid untuk solat. Ini daripada apa yang saya dengar perbualan mereka ketika bersiap untuk amali solat di tadika. Pupuk dan binalah semangat cintakan ibadah dari kecil. Sekadar ingatan bagi ibu bapa, doa dari anak-anak inilah nanti yang menjadi bekalan kita nanti, nak harapkan ilmu bermanfaat yang disampaikan dan sedekah jariah yang kita lakukan, itu tak pasti lagi di sisi Allah. Jadi bentuklah anak-anak ini agar menjadi anak yang soleh dan solehah yang dapat mendoakan kita suatu hari nanti. 

~Cikgu Norifah~

Tuesday, October 18, 2016

MINGGU PERAH OTAK

Mana satu ya jawapannya? (TM)
Bismillahirrahmanirrrahim.

Bermula dari minggu lepas, suasana di semua cawangan Tadika Pintar Bistari sibuk. Cikgu tak menang tangan membuat kerja dan tak cukup tanah mengejar masa. Memang beginilah keadaan yang kami hadapi saban tahun apabila semester sudah semakin sampai ke penghujungnya.

Minggu lepas seperti yang sedia maklum, peperiksaan akhir tahun dijalankan di semua cawangan kami. Sekejap sahaja rasanya semester 2 ini berlalu, sudah hampir cecah ke akhir tahun. Pada pandangan mata ini seperti baru sahaja terdengar-dengar suara cikgu di kelas 5 Bistari mengajar dan memperkenalkan sempoa, subjek yang pada awalnya bukan sahaja memberi tekanan kepada murid, bahkan kepada ibu bapa dan juga guru yang mengajar. Mana taknya, jika kelas 5 tahun biasa, murid-murid akan diperkenalkan sedikit demi sedikit dengan sempoa, tetapi tidak bagi murid 5 Bistari, mereka akan didedahkan dengan pengajaran sempoa yang setaraf dengan murid 6 tahun. Sama sahaja seperti tahun-tahun yang sudah, bila masuk sahaja ke semester kedua, ada ketikanya suasana akan kembali seperti pada awal tahun kemasukkan mereka. Jangan pelik, ini kerana bagi murid 5 tahun, mereka diasingkan mengikut tahap pencapaian mereka. Tak semua dari mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan dan guru yang baru, bermulalah kembali episod berkejaran dan pujuk memujuk untuk masuk ke kelas.

Itu semua antara kenangan yang tak dapat dilupakan. Ketika meluangkan masa memantau perjalanan peperiksaan akhir tahun di kelas-kelas, hati ini dijentik dengan rasa sayu, lebih-lebih lagi apabila ke kelas 6 tahun dan 6 bistari. Masa kami bersama mereka sudah hampir ke penghujungnya. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Dari tidak pandai memegang pensel sehinggalah pandai menulis dan melukis, dari kegeraman asyik menangis yang akhirnya berbual mesra dengan guru, aduh.. kami bakal merindui mereka. 

Penerangan sedang dibuat sebelum murid-murid menjawab soalan (TKM1)

Membaca soalan dengan teliti sebelum memberikan jawapan (TNPB)

Masing-masing fokus menjawab soalan (TIB)

"Soalan ni nak apa sebenarnya cikgu?" (TIPB)

"Eii.. jangan tengok jawapan kitalah!" (TS1)

Kemahiran mengira diperlukan dalam soalan ini (TMPB)

Baca doa dahulu sebelum memulakan peperiksaan (TMPB)

"Hmmmm.. soalan ni nak jawab macamana ye?" (TM)

Minggu ini pula, adalah minggu penandaan dan juga memasukkan markah peperiksaan. Minggu yang paling genting bagi guru-guru kami. Bermacam gaya menanda yang dapat kami lihat, ada yang tersengih-sengih ketika menanda, senang hati barangkali dengan pencapaian anak didiknya. Ada yang berkerut-kerut sambil menggelengkan kepala, tanda kurang puas hati, dan ada juga yang pada awalnya tersenyum, tetapi akhirnya muncung, kenapa rasanya?

"Kita dah target dia ni Cik Ifah.. awal-awal tu cantik aje dia jawab, dah nak akhir ni ada pulak salahnya," masam mencuka jadi mukanya.

Biasalah, dah namanya pun peperiksaan, walaupun ada ketikanya kita merasakan yang anak murid kita tu boleh menjawab soalan dengan baik, kesilapan dan kecuaian boleh berlaku.

Ada juga cikgu yang tak jangka pencapaian anak muridnya,

"Cik Ifah.. percaya tak kalau saya cakap yang dia ni dalam ranking top 5? Tak sangka kan? Dalam kelas tak banyak cakap, kalau nak suruh ke depan untuk jawab pun kena pujuk,"

Ye.. itu saya percaya kerana anak-anak murid kita ni bermacam ragamnya. Tak semestinya anak murid yang pasif itu kurang cerdik, cuma mungkin belum tergerak hatinya untuk menunjukkan bakat dan kelebihannya. Saya pernah berhadapan dengan anak murid yang sepanjang Semester 1 tak mahu berbual dan belajar, tetapi semua kerja sekolahnya akan dihantar keesokkan harinya, bila sudah masuk Semester 2, baru tergerak hatinya untuk menegur saya dan mula membaca Bacalah, pandai budaknya, dalam masa sebulan lebih perkembangannya amat memberangsangkan. Bekerja dengan anak-anak kecil ini, silalah "expect the unexpected". 

Jika ditolak dengan cuti hujung minggu dan cuti-cuti yang lain, cuma tinggal tak sampai sebulan sahaja lagi murid 6 tahun bersama-sama dengan kami. Selesainya peperiksaan ini, ada dua lagi program yang melibatkan mereka yang perlu kami laksanakan; Hari Terbuka dan juga Hari Anugerah Cemerlang. Ibu, ayah.. jangan lupa datang ke tadika anak masing-masing ye pada 27 Oktober 2016 (Khamis) minggu hadapan untuk berjumpa dengan guru kelas mereka. Manfaatkanlah masa yang ada ini untuk datang dan berbincang dengan kami, kita tak tahu entah bila akan dapat bersua muka lagi.

~Cikgu Norifah~

Monday, October 10, 2016

PERTANDINGAN SEMPOA DAN CONGAK 2016

 Bismillahhirrahmanirrahim

Seminggu sudah berlalu Pertandingan Sempoa dan Congak 2016, tetapi cerita tentang kehangatan pertandingan ini masih lagi rancak diperkatakan baik dari pihak guru mahupun ibu bapa.

Alhamdulillah, pertandingan ini dapat dijalankan dengan lancar walaupun pada awalnya masing-masing buntu memandang pentas yang terbuka kosong di Atrium Pusat Bandar Pasir Gudang. Ketika mendapat tahu keadaan yang begitu, keyakinan yang pada mulanya di tahap yang terbaik, sedikit menurun kerana memikirkan bagaimana mahu menceriakan pentas yang tak serupa pentas itu.




Pemandangan dari tingkat 2, nampak pentasnya yang kosong
Kali ini, setelah sekian lama tidak mengadakan pertandingan di Atrium Pusat Bandar Pasir Gudang, kami adakannya kembali. Seram sejuk juga kerana sudah agak lama kami tidak beraksi di kawasan terbuka seperti itu. Segala-galanya perlu dilakukan dengan baik kerana berbanding dengan dewan yang hanya ada penonton di bahagian hadapan pentas, kali ini kami berhadapan dengan penonton dari semua sisi dan tingkat bangunan. 

Saya yang cuma menjaga bahagian audio juga jadi menggigil ketika memasang peralatan p.a sistem, mana taknya mereka yang lalu lalang di sekitar ini mahu juga melihat peralatan yang bakal bergema di kawasan Atrium itu. Akhirnya suasana raptai pada hari Jumaat sudahpun kelihatan seperti hari pertandingan yang sebenar.

Kagum kami dengan semangat dan keberanian anak-anak kecil ini. Gaya mereka beraksi di atas pentas yang terbuka itu seolah-olah bukan kali pertama mereka berhadapan dengan situasi sebegini. Seawal dari hari raptai, hinggalah ke hari pertandingan, majoriti murid yang terlibat tidak kaku apabila berada di atas pentas. Kalaulah saya, nak uji mikrofon cakap “one two.. one two” pun dah menggigil kepala lutut.

Semasa raptai sedang dijalankan.
Seperti biasa, habis sahaja raptai, kami bahagian pengurusan akan duduk dan membincangkan sekali lagi permasalahan yang berlaku ketika raptai dan juga cara termudah dan efektif untuk menaikkan backdrop dan hiasan pentas. Terima kasih kami ucapkan kepada Cikgu Atikah (TMPB), Cikgu Syikhah dan Cikgu Mas Ardilla (TIB) dan juga Cikgu Seri Rahayu Nengsih (TIPB) kerana sudi meluangkan masa untuk bersama kami bersengkang mata dan tenaga demi pertandingan ini. Oh.. tak lupa juga kepada suami-suami cikgu bahagian pengurusan yang turut sama membantu.

Bagaimana ye nak naikkan backdrop ni?

Sama-sama bertungkus lumus menyiapkan 
bahagian masing-masing.

Terima kasih kerana sudi membantu kami.

Alhamdulillah, hasilnya!!

Untuk pertandingan tahun ini, kategori yang sangat menarik perhatian penonton dan guru-guru adalah pertandingan congak. Hebat sungguh mereka ini! Tahniah diucapkan kepada guru yang mengasah kehandalan murid-murid ini. Kami yang guru-guru ini pun tak dapat kira selaju itu, masih lagi tercongak-congak nombor yang diberikan oleh pembaca soalan, tetapi mereka yang di atas pentas sudah pun berebut untuk menekan buzzer. Ketangkasan yang tak dapat kami tandingi.

Para peserta kategori ribu 6 Bistari sedang beraksi.

Fokus sungguh peserta ratus 6 tahun ni.

Pemandangan dari atas pentas pertandingan.

Peserta sempoa 6 tahun


Wakil congak dari TIB


Peserta 5 bistari di atas pentas.

Para peserta tarian juga tak kurang hebatnya. Baru 5 tahun tetapi dapat menghafal gerak tari lagu mereka dalam jangka masa latihan yang singkat. Kami seolah-olah menyaksikan persembahan di konsert akhir tahun murid rasanya. Terima kasih ya guru-guru yang berhempas pulas mengatur masa mengajar di kelas dan juga melatih persembahan. Bukan mudah untuk menggerakkan murid mendengar dan mengikut rentak dan gerak yang diingini. 

Tarian pembukaan dari murid TIPB

Cantik menawan menunggu giliran

Wah.. bukan main lagi dia ye!! (TKM2)
 
Persembahan tarian yang menarik dari Taman Mawar

                         
Anak-anak gadget zaman sekarang. (TNPB)
Seperti beberapa tahun yang sudah, tahun ini juga ada dianjurkan pertandingan sempoa peringkat ibu bapa dan juga pertandingan ibu bapa vs murid. Alhamdulillah, penyertaan memuaskan dari pihak ibu bapa. Yang sangat-sangat dinantikan adalah pertandingan ibu bapa vs anak. Untuk tahun ini tiada wakil dari pihak bapa untuk bertanding dengan anak-anak. Cuba teka siapa yang menang? Hehehe.. semestinya anak-anak kecil yang pintar ini!
Wakil dari pihak bapa

Wakil dari pihak ibu

Peringkat akhir congak.

Pertandingan ibubapa vs anak. Masing-masing fokus.

Dari segi keputusan pertandingan pula, kali ini nampaknya tadika-tadika baru sudah mula menunjukkan taringnya. Harus diingat ye ibu dan bapa, cawangan baru bukan bermakna semua gurunya baru, dua cawangan baru kami itu diterajui oleh guru besar yang memang besar potensinya; Cik Siti Aminah di TMPB dan Cik Seri Rahayu Nengsih di TIPB. Kami yakin mereka boleh mendidik dan juga membentuk guru-guru dan anak-anak murid mereka setaraf, malah mungkin lebih baik lagi dari cawangan lain yang sedia ada. Tekaan kami tidak salah kerana untuk tahun ini bagi kategori ratus 6 tahun, 2 tempat teratas diungguli oleh murid dari TIPB dan bagi 5 bistari pula oleh TMPB. Jadi ibu dan ayah, lepas ni kalau kami cadangkan untuk daftar anak ke cawangan baru yang lebih dekat dengan rumah, jangan khuatir.. cubalah dulu ya.

Para pemenang sempoa 6 Bistari.
1) Muhammad Ammar Ridwan Bin Mohamad 'Azri (TS2)
2) Dayang Nurafrina Auni Binti Mohd Fauzi (TM)
3) Rayhan Haniff Bin Mohd Hairizan (TNPB)

Para pemenang sempoa 6 tahun.
1) Alisha Mirza Binti Noor Rajman (TIPB)
2) Adam Harith Bin Jeffry (TIPB)
3) Khalisoh Binti Ishak (TS1)

Para pemenang sempoa 5 Bistari.
1) Nur Laila Arissa Binti Muhd Faizal (TMPB)
2) Abdul Fattah Aqil Bin Aziz (TNPB)
3) Nur Afifa Fitiya Binti Hafizi (TIPB)

Para pemenang congak  6 Bistari/ 6 tahun.
1) Cahaya Ramadhania Adraiyani Binti Muazamsyah (TM)
2) Muhd Taufiq Rafie in Mohd Khairy (TM)
3) Nursyazriq Zafran Bin Norzairey (TMPB)
Senarai pemenang bagi kategori ibu bapa pula adalah :
Tempat pertama - Puan Nor Idayu Binti Wagiman
Tempat kedua - Puan Norliana Binti Ali
Tempat ketiga - Puan Nor Mahira Binti Zokifeli

Tahun ini juga warga MyBistari berasa sangat beruntung kerana Penyelia Swasta dari PPD sudi datang dan merasmikan pertandingan ini. Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada Encik Norafazi Bin Jaafar, sanggup tunggu hingga ke akhir program dan juga turut serta memantau perjalanan pertandingan di atas pentas. Terima kasih sekali lagi kami ucapkan.

Membincangkan prestasi murid mungkin.

En Norafazi turut sama menyampaikan hadiah untuk para pemenang.

Terima kasih sekali lagi dari kami waga MyBistari Group.
Terima kasih juga kepada para juri dan penanda kertas yang terdiri dari ibu-ibu kerana bersama-sama kami pada kali ini. Ada yang awal-awal lagi dah menawarkan diri untuk turut sama lagi pada tahun depan.
Terima kasih daun keladi !!



Nak tengok lebih banyak gambar dan video? Silalah jengah ke bahagian album di blog ini. Lebih bermakna lagi bagi kami jika pihak ibu dan bapa sudi meninggalkan komen dan cadangan. Sebelum saya terlupa, minggu ini adalah minggu peperiksaan akhir bagi anak-anak MyBistari. Marilah kita sama-sama mendoakan agar mereka semua dapat menjawab soalan dengan tenang dan baik.
~Cikgu Norifah~