Tuesday, October 18, 2016

MINGGU PERAH OTAK

Mana satu ya jawapannya? (TM)
Bismillahirrahmanirrrahim.

Bermula dari minggu lepas, suasana di semua cawangan Tadika Pintar Bistari sibuk. Cikgu tak menang tangan membuat kerja dan tak cukup tanah mengejar masa. Memang beginilah keadaan yang kami hadapi saban tahun apabila semester sudah semakin sampai ke penghujungnya.

Minggu lepas seperti yang sedia maklum, peperiksaan akhir tahun dijalankan di semua cawangan kami. Sekejap sahaja rasanya semester 2 ini berlalu, sudah hampir cecah ke akhir tahun. Pada pandangan mata ini seperti baru sahaja terdengar-dengar suara cikgu di kelas 5 Bistari mengajar dan memperkenalkan sempoa, subjek yang pada awalnya bukan sahaja memberi tekanan kepada murid, bahkan kepada ibu bapa dan juga guru yang mengajar. Mana taknya, jika kelas 5 tahun biasa, murid-murid akan diperkenalkan sedikit demi sedikit dengan sempoa, tetapi tidak bagi murid 5 Bistari, mereka akan didedahkan dengan pengajaran sempoa yang setaraf dengan murid 6 tahun. Sama sahaja seperti tahun-tahun yang sudah, bila masuk sahaja ke semester kedua, ada ketikanya suasana akan kembali seperti pada awal tahun kemasukkan mereka. Jangan pelik, ini kerana bagi murid 5 tahun, mereka diasingkan mengikut tahap pencapaian mereka. Tak semua dari mereka yang dapat menyesuaikan diri dengan rakan-rakan dan guru yang baru, bermulalah kembali episod berkejaran dan pujuk memujuk untuk masuk ke kelas.

Itu semua antara kenangan yang tak dapat dilupakan. Ketika meluangkan masa memantau perjalanan peperiksaan akhir tahun di kelas-kelas, hati ini dijentik dengan rasa sayu, lebih-lebih lagi apabila ke kelas 6 tahun dan 6 bistari. Masa kami bersama mereka sudah hampir ke penghujungnya. Terlalu cepat rasanya masa berlalu. Dari tidak pandai memegang pensel sehinggalah pandai menulis dan melukis, dari kegeraman asyik menangis yang akhirnya berbual mesra dengan guru, aduh.. kami bakal merindui mereka. 

Penerangan sedang dibuat sebelum murid-murid menjawab soalan (TKM1)

Membaca soalan dengan teliti sebelum memberikan jawapan (TNPB)

Masing-masing fokus menjawab soalan (TIB)

"Soalan ni nak apa sebenarnya cikgu?" (TIPB)

"Eii.. jangan tengok jawapan kitalah!" (TS1)

Kemahiran mengira diperlukan dalam soalan ini (TMPB)

Baca doa dahulu sebelum memulakan peperiksaan (TMPB)

"Hmmmm.. soalan ni nak jawab macamana ye?" (TM)

Minggu ini pula, adalah minggu penandaan dan juga memasukkan markah peperiksaan. Minggu yang paling genting bagi guru-guru kami. Bermacam gaya menanda yang dapat kami lihat, ada yang tersengih-sengih ketika menanda, senang hati barangkali dengan pencapaian anak didiknya. Ada yang berkerut-kerut sambil menggelengkan kepala, tanda kurang puas hati, dan ada juga yang pada awalnya tersenyum, tetapi akhirnya muncung, kenapa rasanya?

"Kita dah target dia ni Cik Ifah.. awal-awal tu cantik aje dia jawab, dah nak akhir ni ada pulak salahnya," masam mencuka jadi mukanya.

Biasalah, dah namanya pun peperiksaan, walaupun ada ketikanya kita merasakan yang anak murid kita tu boleh menjawab soalan dengan baik, kesilapan dan kecuaian boleh berlaku.

Ada juga cikgu yang tak jangka pencapaian anak muridnya,

"Cik Ifah.. percaya tak kalau saya cakap yang dia ni dalam ranking top 5? Tak sangka kan? Dalam kelas tak banyak cakap, kalau nak suruh ke depan untuk jawab pun kena pujuk,"

Ye.. itu saya percaya kerana anak-anak murid kita ni bermacam ragamnya. Tak semestinya anak murid yang pasif itu kurang cerdik, cuma mungkin belum tergerak hatinya untuk menunjukkan bakat dan kelebihannya. Saya pernah berhadapan dengan anak murid yang sepanjang Semester 1 tak mahu berbual dan belajar, tetapi semua kerja sekolahnya akan dihantar keesokkan harinya, bila sudah masuk Semester 2, baru tergerak hatinya untuk menegur saya dan mula membaca Bacalah, pandai budaknya, dalam masa sebulan lebih perkembangannya amat memberangsangkan. Bekerja dengan anak-anak kecil ini, silalah "expect the unexpected". 

Jika ditolak dengan cuti hujung minggu dan cuti-cuti yang lain, cuma tinggal tak sampai sebulan sahaja lagi murid 6 tahun bersama-sama dengan kami. Selesainya peperiksaan ini, ada dua lagi program yang melibatkan mereka yang perlu kami laksanakan; Hari Terbuka dan juga Hari Anugerah Cemerlang. Ibu, ayah.. jangan lupa datang ke tadika anak masing-masing ye pada 27 Oktober 2016 (Khamis) minggu hadapan untuk berjumpa dengan guru kelas mereka. Manfaatkanlah masa yang ada ini untuk datang dan berbincang dengan kami, kita tak tahu entah bila akan dapat bersua muka lagi.

~Cikgu Norifah~

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.