Wednesday, October 19, 2016

AMALI SOLAT 2016


Khusyuk menunaikan solat

Bismillahirrahmanirrahim

“Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab ke atas seorang hamba pada hari kiamat adalah perkara solat.  Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amal ibadah lainnya, kemudian semua amalannya akan dihitung atas hal itu,” (Hadith Riwayat An Nasa’i)

Seringkali ibu bapa yang datang untuk mendaftar anak di tadika kami akan bertanya,

“Cikgu, kat sini ada belajar Fardhu Ain tak ?  Mengaji ada termasuk sekali tak dalam pelajaran anak nanti? Saya nak anak saya umur 5 tahun dah pandai solat, bab membaca atau mengira saya tak kisah sangat, yang penting didikan agama.”

Itu antara pertanyaan dan harapan yang diberikan oleh pihak ibu bapa ketika datang untuk mendaftarkan anak-anak mereka di sini.

Ingin saya mengambil kesempatan disini untuk menerangkan yang kami tidak menawarkan kelas 
Fardhu Ain ataupun kelas Iqra di dalam silibus kami. Tetapi tidak bermaksud murid-murid di sini tiada penekanan agama langsung.

Bagi murid K2, ketika semester 1 mereka akan didedahkan dengan mata pelajaran Pendidikan Islam yang fokusnya adalah dalam bab akidah. Murid akan diperkenalkan dengan Rukun Iman. . Setiap rukun yang terkandung di dalam Rukun Iman akan diajar kepada murid-murid. Dalam semester ini juga murid-murid diwajibkan untuk menghafal surah-surah lazim dan juga doa-doa harian. Hafalan mereka akan direkodkan oleh guru kelas dan sekiranya hafalan tidak memuaskan hati guru, murid dikehendaki mengulangi hafalan itu lagi. Begitu juga dengan murid K1, ada bacaan dan doa yang perlu dihafalkan mengikut tahap mereka.

Pada semester 2 pula mereka akan didedahkan dengan bab ibadah. Rukun Islam akan diperkenalkan kepada murid-murid. Ketika ini juga niat-niat solat akan diajarkan kepada mereka.  Bacaan-bacaan dalam solat juga dimasukkan dalam hafalan bulanan mereka dan seperti juga semester 1, di semester 2 bacaan ini juga direkodkan.

Amali solat hanya akan dilakukan apabila peperiksaan semester 2 tamat. Murid-murid akan dipantau dari cara mengambil wuduk sehinggalah bacaan doa selepas solat. Punyalah seronok apabila guru mereka menyampaikan pesan untuk membawa telekung, songkok dan sejadah, habis keluar semua cerita pengalaman mereka menunaikan solat bersama keluarga tercinta.


Bersedia untuk mengambil wuduk (TIPB)

Jangan lupa di bahagian celah-celah jari ye (TIB)

Rapatkan saf semua!! (TIB)

Sejuk hati bila tengok sudah pandai imamkan solat (TIPB)

Pastikan cara duduk antara dua solat betul (TIPB)

Alhamdulillah, lancar bacaan doa qunut (TS2)

Yang belum lancar, dapat melancarkan lagi 
dengan baca bersama-sama(TS2)

Duduk antara 2 sujud (TS1)

Jangan ada yang tertidur masa sujud (TS2)

Bacaan doa selepas solat (TS1)

Selesai sudah solat (TS1)

Salam bersalaman 

Alhamdulillah amali ibadah wajib ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan baik. Harapan kami agar ibadah ini tetap diterapkan juga di rumah. Anak-anak suka apabila dibawa ke surau atau masjid untuk solat. Ini daripada apa yang saya dengar perbualan mereka ketika bersiap untuk amali solat di tadika. Pupuk dan binalah semangat cintakan ibadah dari kecil. Sekadar ingatan bagi ibu bapa, doa dari anak-anak inilah nanti yang menjadi bekalan kita nanti, nak harapkan ilmu bermanfaat yang disampaikan dan sedekah jariah yang kita lakukan, itu tak pasti lagi di sisi Allah. Jadi bentuklah anak-anak ini agar menjadi anak yang soleh dan solehah yang dapat mendoakan kita suatu hari nanti. 

~Cikgu Norifah~

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.