Tuesday, September 20, 2016

PROGRAM SIMULASI HAJI CILIK 2016

Ibadah Tawaf sedang dijalankan

Dari Abu Hurairah r.a berkata :

“Rasulullah saw pernah berkhutbah di tengah-tengah kami. Beliau bersabda, ‘Wahai sekalian manusia, Allah telah mewajibkan haji bagi kalian, maka berhajilah.’ Lantas ada yang beranya, ‘ Wahai Rasulullah, apakah setiap tahun kami mesti berhaji?” Beliau lantas diam, sampai orang tadi bertanya hingga tiga kali. Rasulullah saw lantas bersabda, ‘Seandainya aku mengatakan IYA maka tentu haji akan diwajibkan bagi kalian setiap tahun dan belum tentu kalian sanggup. (HR Muslim)

Pada 31hb Ogos 2016 yang lalu, ketika rakyat Malaysia sedang sibuk dengan sambutan hari Kebangsaan, kami warga MyBistari Group juga sedang bertungkus lumus menjayakan program yang julung-julung kalinya diadakan, iaitu Program Simulasi Haji Cilik. Kalau diikutkan, ini adalah kali kedua bagi kami terlibat dalam program ini, tetapi yang pertamanya dahulu di bawah Persatuan Tadika Johor dengan kerjasama PERTIM. Untuk tahun ini adalah tahun percubaan bagi kami melaksanakan acara ini sendiri kerana kami yakin kami mampu untuk menjalankannya dengan baik. Bukannya apa, tenaga kerja yang sedia ada di dalam MyBistari Group adalah antara yang terbaik kali ini.

Berdebar itu jangan kiralah, kerana untuk beberapa minggu, kami tak nampak bayang perjalanan program ini. Lagi bertambah ngeri apabila kedengaran talbiah yang dialunkan oleh anak-anak murid, tanda persiapan dari pihak cikgu-cikgu juga sudah mula digerakkan. Dalam masa yang sama, agak meremang bulu roma mendengar kelantangan suara mereka:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ
إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ


“Aku memenuhi panggilanMu Ya Allah, aku memenuhi panggilanMu. Aku memenuhi panggilanMu, tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. Sesungguhnya pujian dan nikmat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu.”

Mendengar dan memahami bait-bait ucapan talbiah itu, hati ini juga menjadi sayu. Teringat akan peluang menerima panggilan dariNya hampir 8 tahun yang lepas bersama-sama dengan Puan Shawariah.

Ada sedikit cerita hendak saya kongsikan. Seminggu sebelum program ini diadakan, ketika itu saya baru sahaja mengalihkan kereta kerana hujan lebat, memberi ruang bagi van sekolah untuk masuk ke dalam perkarangan sekolah nanti ketika waktu balik, seorang murid datang mendekati saya.

“Cikgu Ifah.. nanti masa pergi haji tu, kena pakai kain aje kan?”soalnya apabila sudah berada di sebelah saya. Saya mengiyakan dan duduk bersila di sebelahnya.

"Cukup ke pakai kain? Kalau tertanggal nanti?” tak berkedip matanya memandang saya. Itu rupanya
yang dirisaukan murid ini. Mungkin di rumah sudah mula bercerita tentang program yang bakal disertainya ini.

“Takkan nak jalan tak pakai apa-apa cikgu kalau kain dah tercabut?”

“Sebab tu kalau yang sebenarnya, akan pakai tali pinggang supaya kain ihram tak tercabut. Tapi, untuk haji yang tadika buat ni, kan cikgu ada pesan suruh pakai seluar panjang kan, jadi kalau tercabut kain ihram, masih ada seluar panjang,” mendengar itu barulah dia tersenyum.

Rupanya murid ini terkeliru dengan info yang diberi oleh ayahnya di rumah. Ayahnya menerangkan tentang pemakaian ihram untuk umrah dan haji, yang memerlukan hanya pemakaian kain ihram tanpa pakaian lain yang berjahit. Info itu mungkin terlalu difikirkannya sangat sehingga terlupa pada pesanan yang telah diberi di surat makluman dan juga pesanan cikgu di kelas. Punyalah hebat penangan Program Simulasi Haji Cilik ni.

Macam-macam juga yang sampai ke telinga saya setiap kali lalu di kawasan kelas murid 6 tahun.

“Kita nak baling batu kat syaitan!”

“Ada naik kapal terbang tak?”

“Betul ke syaitan tu mati kalau kena baling dengan batu?”

Dan bermacam-macam lagi persoalan dan perbualan sesama mereka yang menambah kecut perut kami. Kenapa? Kerana keterujaan mereka untuk mengikuti program ini membuatkan kami rasa kami perlu lakukan yang terbaik untuk mereka.

Semangat itu semakin bertambah apabila pada pagi Jumaat beberapa hari sebelum program ini dilaksanakan, kain ihram dan telekung peserta sampai di tadika. Kagum kami dengan usaha bos kami yang memandu dari Johor ke Kuala Lumpur kemudian pulang semula ke Johor dalam masa sehari untuk mengambil barang keperluan ini.

Tempat program juga telah berubah dari perancangan yang awal. Alhamdulillah, tempat yang dipilih lebih selesa dan terkawal. Program ini akhirnya dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4.

Pagi masa hari kejadian, apabila murid mula datang memenuhi kawasan berkumpul di kantin sekolah, semakin sejuk rasa hati ini. Putih bersih lengkap berihram dan bertelekung. Jika kami yang menunggu di sekolah rasa terharu, apatah lagi ibu bapa yang menyiapkan anak-anak ini di rumah, pasti lebih terharu kan?

Alhamdulillah, untuk program yang julung-julung kalinya diadakan ini juga kami mengalu-alukan pihak ibu bapa untuk menjadi mutawwif (bagi ibu bapa yang ada pengalaman menunaikan umrah atau haji). Terima kasih sekali lagi kami ucapkan kepada :

  • Pn Ani Binti Ahmad mutawwif bagi kumpulan haji cilik Taman Mawar.
  • En Abdul Syukur Bin Abd Wahab mutawwif bagi kumpulan haji cilik Taman Scientex 2.
  • En Zambri Bin Ngali mutawwif bagi kumpulan haji cilik Taman Scientex 1 dan Tadika Minda Pintar Bestari.
  • En Mohamad Ghazali Bin Ashaari mutawwif bagi kumpulan haji cilik Tadika Nur Pintar Bestari.
  • Pn Azian Binti Ibrahim mutawwif bagi kumpulan haji cilik Tadika Inovasi Bestari dan Taman Kota Masai 2.
  • Pn Rahimah Binti Mohd Khalid mutawwif bagi kumpulan haji cilik Taman Kota Masai 1 dan Tadika Ilmu Pintar Bestari.

Kehadiran mereka ini sangat membantu kami dalam melancarkan perjalanan program.  Kami juga dibantu oleh Pn Intan Juliana Binti Md Daud di bahagian urusetia. Cuaca juga sangat baik sepanjang program, takut juga kalau hujan atau panas yang terlalu terik, kasihan para jemaah cilik yang hendak menunaikan haji.

Keterujaan ibu bapa dapat dilihat sejak dari awal jemaah sampai ke perkarangan sekolah lagi. Ada juga jemaah yang siap bawa datuk dan nenek untuk menyaksikan mereka menunaikan ibadah haji. Tersenyum bangga datuk dan nenek melihat cucunya lengkap mengenakan ihram.

Perjalanan program berjalan dengan lancar mengikut tentatif yang diperbincangkan. Laungan talbiah dari corong speaker dan juga dari para jemaah cilik menaikkan lagi semangat mereka mengerjakan haji. Senyuman tak lekang kelihatan dari ibu bapa yang bangga dengan anak-anak mereka.


Kit Simulasi Haji Cilik 2016

Model Kaabah siap dinaikkan.

Berjalan menuju ke tapak perkumpulan.

 Wajah-wajah jemaah yang penuh keyakinan.

Para mutawwif yang akan membimbing para jemaah.

Berkumpul menanti arahan seterusnya.

Di Checkpoint Pertama (Wukuf di Arafah)

Beratur untuk mendapatkan cop.

Di Checkpoint Kedua (Mabit), mengumpul batu untuk ibadah melontar 3 jamrah

Pastikan cukup 21 batu ye untuk lontaran.


Beratur untuk mendapatkan cop.

Melontar Jamrah.

Mendengar arahan mutawwif sebelum melakukan lontaran.

Tawaf mengelilingi Kaabah.

Pn Shawariah memantau perjalanan program.

Tapak Saei masih lagi kosong.

Ibu bapa memerhatikan jemaah melaksanakan Saei.

Rukun yang terakhir, tahallul. Hati-hati ye cikgu, jangan tergunting telinga.

Menunggu giliran untuk bertahallul.

Hmmm.. mana ye rambut awak ni?

Alhamdulillah.. ini mudah bagi cikgu.

Subhanallah.. ini sangat mencabar.

Berkumpul sekali lagi untuk upacara penyampaian sijil pernyertaan.

Sijil penyertaan diserahkan kepada peserta.

Jemaah bersama sijil masing-masing.

Alhamdulillah! Kami berjaya menunaikan ibadah haji!!

Alhamdulillah, program berjaya dihabiskan seperti dalam tentatif. Berkat usaha guru-guru yang terlibat dan juga sokongan yang baik dari pihak ibu bapa, program dapat dilaksanakan dengan jayanya. Percubaan pertama yang sukses bagi kami. Tahniah ye Haji dan Hajjah cilik, Insyaallah tahun hadapan giliran adik-adik kamu pula yang dipanggil untuk menyertai program ini.

~Cikgu Norifah~

p/s : Terima kasih juga kepada pihak Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4, terutamanya Gurubesar Pn. Hajjah Rohaya kerana memberi kami peluang untuk menggunakan ruang perhimpunan sekolah untuk program simulasi ini. 
Terima kasih daun keladi, tahun depan nak guna lagi. :)

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.