Tuesday, September 20, 2016

JOM KE PERPUSTAKAAN!

Ruang bacaan kegemaran murid-murid

“Ilmu itu dimiliki dengan lidah yang banyak bertanya dan akal yang gemar berfikir,” Abdullah Ibnu Abbas.

7hb Ogos 2016 (Ahad)

Pada tahun ini diadakan semula lawatan yang tidak dapat kami laksanakan pada tahun lepas, lawatan ke Perpustakaan Awam Pasir Gudang. Jujur cerita, bukan sahaja anak murid yang teruja untuk menyertai lawatan ini, guru-guru juga turut berasa yang sama. Nak tahu kenapa? Kerana sebenarnya ramai juga guru-guru kami yang belum berkesempatan melawat perpustakaan yang telah berpindah ke lokasi yang baru ini.

Jumlah penyertaan yang agak ramai untuk tahun ini menyebabkan jadual lawatan yang sepatutnya cuma empat hari, dipanjangkan menjadi lima hari, bermula dari Ahad hinggalah ke Khamis. Lawatan kali ini dimulakan dengan murid-murid sesi pagi dari Tadika Nur Pintar Bestari. Sedikit pening bagi cawangan ini kerana sesi pagi dan petangnya berbeza hari lawatannya.

Untuk hari yang pertama, rombongan lawatan disertai sekali oleh Puan Suhaila bagi memantau keadaan persekitaran dan juga aktiviti yang akan dilakukan di sana nanti. Kami di bahagian pengurusan sabar menanti foto-foto yang akan dikongsikan oleh mereka.


Seronok melihat anak-anak murid yang riang dan gembira menanti masa untuk mereka duduk dan membaca buku pilihan mereka. Sebagaimana mungkin rambang mata ibu bapa apabila memilih barangan idaman mereka di pusat membeli belah, begitu juga keadaan anak-anak mereka di perpustakaan. Serba tak kena. Ambil satu buku, dibelek, kemudian diletak semula, ambil lagi buku yang lain. Terlalu banyak pilihan sehingga jadi pening mereka hendak memilih buku. Di sinilah peranan guru pengiring amat penting. Tugas mereka bukan sekadar mengawal disiplin murid jagaan mereka di sana, tetapi juga sebagai pemantau dan penasihat kepada anak-anak murid berkenaan dengan buku pilihan mereka.

Terima kasih kami ucapkan kepada pustakawan yang melayan kunjungan anak-anak didik kami, Puan Mazni. Penerangan yang diberikan jelas berkenaan dengan cara pengambilan dan pemulangan buku di rak, setiap sudut ruang bacaan yang disediakan, dan juga peraturan-peraturan yang perlu diikuti semasa berasa di dalam perpustakaan.

Jom tengok gelagat mereka di perpustakaan!

Dalam bas menuju ke perpustakaan.

Mengaplikasikan apa yang sudah diterangkan oleh pustakawan 
berkenaan tatacara mengambil buku di rak.

Luas dan selesa. Antara ruangan membaca yang ada di PAPG.

Kami dah pilih bahan bacaan yang berkenan di hati kami cikgu!

Semua sedang beratur untuk mendengar taklimat yang akan diberikan 
oleh pustakawan yang terlibat.

Duduk sini elok-elok, jangan main-main, jatuh nanti!

Kami selesa duduk bersila macam ni sambil membaca.

Inilah Pn Mazni yang banyak membantu kami di perpustakaan.

Alhamdulillah.. masing-masing gembira dengan cenderahati yang diperolehi dari pihak PAPG.
Ini baru catatan sehari pengalaman lawatan ke perpustakaan, ada lagi empat hari lagi yang akan dilalui oleh cawangan-cawangan yang lain. Akan saya kongsikan cerita dan aksi mereka pada entri yang lain.

-Cikgu Norifah-

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih kerana meninggalkan komen anda samada negatif @ positif. Sila berikan nama anda agar ukhwah terus terjalin.